Penutup
Setiap permainan tradisional pada zaman dahulu mempunyai keistimewaan yang tersendiri, ia diamalkan oleh generasi dahulu sebagai hiburan harian selepas berladang, menuai padi dan menangkap ikan. Yang uniknya semua permainan tradisional yang diwarisi itu telah dapat mengeratkan tali silaturahim antara satu dengan yang lain malah ada yang berjaya bertemu jodoh melalui peraminan-permainan tersebut, walaupun ada diantara permainan-permainan tersebut kadang kala keras dan kasar. Pendek kata perselisihan faham masyarakat dahulu kala tidak sampai kemana.
Banyak sudah permainan ini telah dilupakan, namun masih ada pihak yang perihatin terhadap budaya dan tradisi lama yang mahu sukan tradisi itu tidak luput dari ingatan dan ingin pula memperkenalkan semula kepada genarasi sekarang walaupun dalam bentuk yang berlainan lalu banyak pihak sedang mengorak langkah untuk memperomosikan beberapa sukan tradisi tersebut untuk diketengahkan kepada umum.
Sukan piala Menteri Pembangunan Belia, Kebudayaan dan Kemajuan Sukan bagi tahun 2000 baru-baru ini telah memperkenalkan semula beberapa jenis sukan tradisional yang kian dilupai itu.
Jabatan Muzium Sabah sebagai tuan rumah kepada temasya kejohanan tersebut telah memasukkan beberapa jenis sukan tradisi dalam program kejohanan tahun 2000. Di antara sukan tradisi yang telah dikemukakan ialah seperti lumba lari dalam guni yang juga dikenali sebagai lumba lari dalam karung, lumba lari rampanau, tarik tali, menganyam ketupat dan lumba lari menaiki upih.
Boleh dikatakan kesemua jenis sukan tersebut yang telah diadakan di kawasan Muzium Sabah mendapat perhatian serta menghibuarkan sesiapa sahaja yang berada di gelanggang tempat permainan itu diadakan.